FITNAH WANITA
Allah telah menentukan bahawa ada perkara tertentu
yang menarik perhatian di antara lelaki dan wanita. Dan untuk itu, Allah juga
yang mengatur bentuk hubungan yang perlu dilakukan, agar di antara mereka tidak
timbul perkara-perkara yang tidak diingini. Walaupun demikian, ramai juga
manusia yang melanggar batas-batas tersebut sehingga mereka tertunduk malu
kerana keterlanjuran yang mereka lakukan. Lelaki yang tidak mampu mengawal
dirinya daripada daya tarik yang ada pada wanita, pasti mudah untuk melakukan
perkara-perkara yang menjadi larangan Allah Taala.
Apabila membicarakan tentang
fitnah wanita, bukan bermakna wanita itu jahat dan sukakan keburukan. Tetapi
apa yang dimaksudkan ialah keadaan mereka itu mampu menjadikan lelaki lupa
daratan dan apabila usaha pencegahan tidak dilakukan, akan berlakulah
perkara-perkara yang tidak diingini. Ini sudah pasti apabila lelaki yang
berkenaan tidak berhati-hati. Bagaikan binatang ternak yang memakan rumput
berdekatan dengan padang larangan, adalah mudah bagi binatang itu memasuki
kawasan tersebut.
Fitnah ini boleh berlaku dalam
dua keadaan, iaitu sebelum kedua jenis ini berkahwin dan ketika atau selepas
lelaki dan wanita ini bernikah. Sebelum bernikah, Islam menentukan adanya
mahram dan yang bukan mahram. Antara lain, adalah untuk memudahkan manusia
mengetahui orang yang dibolehkan mereka berhubung atau bergaul secara bebas dan
yang tidak boleh berbuat demikian. Perlanggaran pada ketentuan ini akan
mengakibatkan perkara mungkar yang berlaku. Kebiasaannya manusia melakukan
sesuatu yang tidak baik secara berperingkat-peringkat sesuai dengan bentuk
kemungkaran itu.
Bermula dari dosa kecil seperti
melihat, bercakap-cakap (berdua-duaan), berpegangan dan bersentuhan kulit dan
akhirnya melakukan dosa besar. Orang yang berzina sebenarnya tidak ada harganya
di sisi Allah, kecualilah dia bertaubat. Mengatasi masalah zina tidak dapat
diatasi hanya dengan menyediakan rumah-rumah kebajikan bagi mereka yang telah
terlanjur. Apa yang utama ialah memberi kefahaman kepada mereka tentang panduan
agama dalam masalah ini dan dalam masalah kehidupan yang lain.
Islam dalam masalah ini,
memperuntukkan hukuman yang berat kepada penzina, kerana mereka telah bersungguh-sungguh
untuk memulakannya. Setelah berkahwin pula, seorang suami kadangkala tidak
berupaya memimpin dengan baik dan sempurna. Ketenangan yang sepatut dikecapi
semasa bernikah, hanya menjadi impian kosong. Bernikah dengan wanita pilihan
hati rupanya tidak seindah namanya. Sebabnya ialah proses dan matlamat
perkahwinan tidak menjejaki apa yang telah digariskan oleh Allah.
Kecantikan yang menjadi dasar
pilihan itu rupanya bagaikan memetik mawar yang berduri yang tidak ada wanginya
yang harum. "Hai orang yang beriman, sesungguhnya di antara
isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu, maka
berhati-hatilah kamu terhadap mereka. Dan jika kamu memaafkan dan tidak
memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi
Maha Penyayang ." (At-Taghaabun : 14)
Keadaan ini sebenar bukan suatu
yang merendah-rendahkan wanita. Andaikata mereka mendapat pendidikan yang baik
serta memahami tuntutan agama dalam perkara-perkara yang dihadapi, mereka
justeru menjadi pendorong yang digigih. Sesuai dengan kejadian mereka seumpama
daripada tulang rusuk yang bengkuk, kepemimpinan yang baik daripada pihak
lelaki akan mampu membawa mereka ke jalan yang lurus. Jika demikian gambaran
keadaan fitnah yang dihadapi melalui wanita, tentu lebih hebat keadaannya
bilamana wanita itu aktif dalam perkara-perkara sumbang.
Kalau dalam masjid dan dalam
rumah tangga keadaan boleh menjadi tidak tenteram kerana kurang fahamnya wanita
terhadap sesuatu, tentulah lebih mencabar jikalau keadan ini digiatkan bila
berada di luar masjid dan rumah tangga. Rasulullah saw pernah memberi pesanan
kepada para sahabat baginda yang selalu duduk-duduk ditepi jalan agar menjaga
hak-hak jalan, iaitu menjaga pandangan, tidak mengganggu orang yang lalu,
menjawab salam serta melakukan pencegahan maksiat. (Hadis Riwayat Bukhari dan
Muslim dari Abu Said al-Khudry).
Ini bermakna, setiap anggota
masyarakat akan menerima akibatnya apabila suasana maksiat disuburkan khususnya
melalui wanita-wanita jahat. TercatAt dalam sejarah Islam, bahawa ayat 1-2
Surah at-Tahrim turun disebabkan angkara isteri-isteri baginda. Ketika baginda
habis meminum madu di rumah isteri baginda Saudah, dia berkata bahawa ada bau
yang busuk. Begitu juga ketika baginda selesai meminum madu di rumah Aisyah,
dia diberitahu bahawa ada bau yang busuk. Lalu Rasulullah saw kerana untuk
menjaga hati isterinya telah berjanji untuk tidak meminum madu lagi.
Allah lalu menurunkan firman Nya
: "Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah halalkan bagimu,
kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri kamu?" (at-Tahrim : 1) Perlu
ditegaskan bahawa fitnah wanita tidak selalunya datang dari arah wanita itu
sendiri. Bahkan selalunya godaan nafsu dalamlah yang menjadi pendorong bagi
lelaki untuk mendekati wanita dan melakukan maksiat. Oleh kerana itu, wanita
atau isteri bukanlah musuh yang sebenarnya yang perlu dijauhi. Perlakuan yang
berlaku adalah antara dua jenis ini adalah gambaran umum tentang bentuk
perhubungan yang diwujudkan.
Apabila masing-masingnya memberi
perhatian yang wajar untuk sama-sama membina kebahagiaan, maka mereka akan
mengecapinya dengan sempurna. Abu Hurairah ra berkata bahawa Rasulullah saw
bersabda : "Sesempurna iman seseorang ialah yang paling baik budi
pekertinya,dan sebaik-baik kamu ialah yang terbaik pergaulannya terhadap
isterinya." (Riwayat Tirmizi). Dan dalam sebuah hadis dari Abdullah bin
Amru al-Ash, bahawa Rasulullah bersabda : "Dunia ini adalah perhiasan dan
sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah." (Riwayat Muslim)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar